KUALA LUMPUR: Pendekatan Kerajaan Sarawak dengan memfokuskan kepada teknologi dan kelestarian alam sekitar sebagai sumber ekonomi baharunya menarik perhatian negara luar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan beliau menerima jemputan dari Negara Singapura untuk membentangkan mengenai perancangan ekonomi baharu yang sedang Kerajaan Sarawak laksanakan.
“Insyaallah, minggu depan saya dijemput oleh pihak Singapura dan Temasek Group untuk membentangkan satu paper mengenai ekonomi baharu yang dilaksanakan oleh Negeri Sarawak.
“Kita akan memaklumkan kepada mereka penekanan kita terhadap ekonomi baharu menggunakan teknologi dan juga ekonomi yang berasaskan kepada kelestarian alam sekitar,” katanya berucap semasa Majlis Sungkei Dengan Premier Abang Jo 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menjelas lanjut, Kerajaan Sarawak katanya kini beralih kepada ekonomi berasaskan hidrogen dalam mencapai visi muncul negeri maju menjelang tahun 2030.
Katanya lagi, peralihan kepada ekonomi baharu itu juga bertujuan menjadikan Sarawak maju dalam pengurusan ekonomi yang lebih lestari dan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
Dalam hal ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menzahirkan rasa syukur kerana Sarawak mempunyai kerajaan yang sangat stabil di Malaysia.
Jelasnya, ini dibuktikan dengan kemenangan besar Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 dari 82 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang lalu.
“Dengan kekuatan ini, kami akan terus berusaha untuk meneruskan apa saja agenda kita termasuklah mengenai hak kita melalui MA63.” – EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS